PKPB Lembah Klang wajar dikuatkuasakan, kata penyelidik kesihatan


Angie Tan

Kepadatan penduduk di Lembah Klang memudahkan lagi penularan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Lembah Klang adalah wajar berikutan kepadatan penduduknya, kata penyelidik kesihatan dan dasar Lim Chee Han.

Lim berkata gelombang ketiga pandemik yang kini sedang melanda negara adalah “lebih serius” berbanding sebelum ini kerana cabaran dalam pengesanan kontak.

“Bagi jangkitan daripada kluster tabligh Sri Petaling Mac lalu, pihak berkuasa masih boleh mengesan mereka yang hadir.

“Bagaimanapun dalam gelombang kali ini, mereka perlu mengesan sesiapa yang melakukan perjalanan ke Sabah. Dan kerana sekatan yang lambat, koronavirus ini menular ke bahagian lain di Malaysia,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

Sekatan yang lambat tu merujuk kepada protokol yang dikenakan terhadap mereka yang kembali dari Sabah selepas pilihan raya negeri 26 September lalu.

Kerajaan hanya mengenakan ujian saringan wajib ke atas mereka yang tiba di lapangan terbang bermula 27 September dan hanya perlu kuarantin kendiri sehingga keputusan ujian diperoleh, selagi mereka negatif.

Ini bermakna mereka yang disahkan negatif bebas daripada kuarantin kendiri dalam beberapa hari, berbanding dalam tempoh 14 hari.

Kementerian Kesihatan kemudian menggesa semua orang yang kembali dari Sabah sejak 20 September tampil untuk ujian Covid-19, tetapi pada masa itu jumlah kes telah meningkat.

Sabah telah melaporkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi setiap hari dan telah mengeksport jangkitan ke negeri lain, di mana kes juga meningkat dan kluster baru terbentuk.

Sabah dikenakan PKPB kedua sehingga 26 Oktober manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan PKPB bermula hari ini hingga 26 Oktober.

Sejak kebelakangan ini, Selangor mula merekodkan jumlah kes harian tertinggi, mengatasi Kedah yang merupakan negeri kedua merekodkan kes tertinggi selepas Sabah di bawah gelombang terbaharu bermula awal September.

Kebanyakan kes di Kedah adalah daripada kluster penjara, manakala kes di Selangor adalah daripada mereka yang kembali dari Sabah dan ada yang tidak berkaitan dengan komuniti itu.

Sejak empat hari lalu, Selangor mencatat jumlah kes yang semakin meningkat, dengan 44 jangkitan baru iaitu 26 kes pada 10 Oktober, 69 kes pada 11 Oktober dan 76 kes semalam.

PKPB untuk Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diumumkan oleh Menteri Kanan dan jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Ismail Sabri Yaakob pada hari Isnin, dua hari sebelum ia akan bermula di Lembah Klang.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor semalam berkata, PKPB tidak sepatutnya dikuatkuasakan seluruh negeri yang  mana masih banyak kawasan zon hijau dan zon kuning. Kerajaan Selangor menghantar pandangan mengenai perkara itu untuk dinilai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Lim bagaimanapun berkata, koronavirus dapat merebak dengan cepat di negeri yang padat penduduk seperti Selangor.

“Selangor ialah pemacu pertumbuhan negara. Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah terbaik, sukar untuk jumlah kes menurun dalam masa terdekat.

“Jangkitan disebabkan oleh manusia. Hanya mengurangkan interaksi boleh mengawal pandemik.

“Sekiranya aktiviti ekonomi diteruskan (tanpa sekatan), semua akan terus bergerak dan virus akan merebak dengan lebih mudah,” tambah Lim.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu berkata kerajaan tidak akan kembali mengenakan sekatan penuh kerana PKP akan menjejaskan ekonomi negara.

Lim berkata sukar untuk mengatakan apakah janji itu dapat ditepati, kerana jika jumlah kes terus meningkat, tidak mustahil sekatan seluruh negara akan dilakukan semula.

Buat masa ini PKPB adalah wajar, terutamanya kepada sektor tidak penting. Kawalan khalayak perlu diperketatkan di kawasan padat seperti pasar dan pusat beli belah, katanya.

“Saya percaya kerajaan ada lebih banyak data dan tahu sama ada ia boleh dikawal. Sekiranya tidak, lebih baik menderita sekejap daripada menderita dalam tempoh yang panjang. Pelaksanaan sekatan pergerakan akan memberi kelebihan kepada semua orang.”

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye mengatakan gelombang ketiga Malaysia dengan sebilangan besar kes dari Sabah menunjukkan bahawa prosedur operasi standard semasa pilihan raya negeri tidak dilaksanakan dengan ketat.

Beliau juga mengatakan bahawa kerajaan harus melakukan lebih banyak perkara untuk mengawal kes-kes import yang berpunca dari kemasukan haram di sepanjang sempadan Sabah oleh pendatang dari Filipina dan Indonesia.

“Kerajaan menghabiskan jutaan ringgit setiap tahun untuk mengekalkan operasi Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah ( ESSZone), tetapi mengapa masih banyak pendatang tanpa dokumen yang menyelinap masuk dan membawa virus?

“Pihak berkenaan perlu melihat semula tindakan mereka,” kata Lee.

Bekas timbalan menteri Pakatan Harapan itu juga mendesak Kementerian Kesihatan untuk bersikap telus dan cepat berhubung maklumat terkini mengenai penyebaran wabak tersebut.

Kes Covid-19 baru-baru ini di pusat membeli-belah membuat orang ramai bertungkus lumus untuk mengesahkan maklumat tersebut secara dalam talian, sedangkan kementerian boleh membuat pengumuman sehingga orang dapat memutuskan apakah mereka harus pergi ke lokasi seperti itu.

Lee juga menyarankan agar peraturan dan SOP sedia dan disiarkan dalam talian agar dapat dilihat oleh orang ramai setelah menteri membuat pengumuman.

Beliau turut menggesa koordinasi yang lebih besar antara agensi, kerana pengumuman kadang-kadang tidak jelas mengenai perincian tertentu, menyebabkan kekeliruan antara orang awam dan pihak berkuasa. – 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen