PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah perlu bagi mengelakkan penularan Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Ia perlu kerana jumlah kes semakin meningkat di seluruh daerah ini. Kawalan pergerakan bersyarat ini adalah langkah awal dan merupakan tindakan perlindungan. Aktiviti ekonomi tidak akan terjejas,” kata Muhyiddin pada sidang media hari ini.
Sebelum keputusan semalam, Muhyiddin mengatakan bahawa kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara bersasar di daerah lain seperti Klang dan Petaling Jaya.
“Namun daripada apa yang berlaku, jumlah kesnya terlalu banyak di seluruh Selangor. Ia semakin meningkat walaupu di zon kuning seperti Hulu Langat.
“Oleh yang demikian, apa yang kita lakukan adalah untuk mengurangkan pergerakan masyarakat dengan menutup sekolah contohnya. Hingga 1.2 juta orang terjejas dengan penutupan ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, aktiviti ekonomi di Lembah Klang bagaimanapun tidak terjejas.
“Pusat membeli-belah, pasar mesti beroperasi kerana kita cuba untuk seimbangkan antara kehidupan dan sara hidup.
Bagaimanapun, Muhyiddin mengakui bahawa kerajaan lambat bertindak ketika melaksanakan kawalan di Sabah.
“Namun masih belum terlambat dan tidak banyak kehilangan nyawa dan ia masih terkawal,” kata Muhyiddin pada sidang media hari ini.
“Peningkatan kes itu disebabkan pilihan raya Sabah yang perlu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada undang-undang tetapi kini ia terkasal dan mampu diuruskan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, walaupun kerajaan mahu bertindak lebih awal, kempen pilihan raya Sabah menjadikan ia sukar.
“Kerajaan mengikuti dengan rapat apa yang berlaku di Sabah dan menyediakan bantuan. Tetapi kerana pilihan raya, ia terjejas kerana mereka yang berkempe tidak mengikut SOP.”
Beliau merujuk kepada protokol terhadap mereka yang pulang dari Sabah selepas pillihan raya negeri yang diadakan pada 26 September.
Kerajaan hanya menguatkuasakan ujian saringan Covid-19 wajib ketika tiba di lapangan terbang bermula 27 September dan hanya perlu kuarantin kendiri sehingga keputusan ujian diperoleh selagi mereka negatif.
Kementerian Kesihatan kemudian menggesa semua orang yang kembali dari Sabah sejak 20 September untuk tampil melakukan ujian Covid-19, tetapi pada masa itu jumlah kes telah meningkat. – 13 Oktober, 2020.
Komen