Kes import Covid-19 pertama di Taiwan dari China


Taiwan mengesahkan kes import Covid-19 pertama dari China selepas tidak mencatatkan kes import sejak lebih lapan bulan lalu. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2020.

SEORANG warga Taiwan yang kembali dari China pada Selasa didiagnosis Covid-19, menjadi kes pertama dilaporkan sejak Februari,  kata Pusat Kawalan Epidemik (CECC).

Lelaki berusia 40-an itu berkunjung ke wilayah Jiangsu pada Februari untuk bekerja dan pulang ke Taiwan pada Ahad, kata jurucakap CECC Chuang Jen-hsiang pada taklimat media di Taipei.

Chuang berkata lelaki itu menjalani saringan Covid-19 semasa tiba di Taiwan setelah memaklumkan kepada pegawai kuarantin beliau mengalami gejala seperti selesema dan batuk, lapor Agensi Berita Pusat  (CNA). 

Pada Selasa keputusan ujiannya didapati positif dan beliau dimasukkan ke hospital, kata Chuang.

Menurut CECC, 10 penumpang yang duduk paling dekat dengan lelaki itu diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Chuang berkata Taiwan tidak mencatatkan kes import Covid-19 sejak lebih lapan bulan lalu.

Setakat ini, Taiwan melaporkan 530 kes dengan 438 membabitkan kes import. Dari jumlah itu, 489 sudah pulih, tujuh meninggal dunia manakala 34 lagi masih dirawat hospital, menurut data CECC. – Bernama, 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen