ANWAR Ibrahim berbohong mempunyai sokongan majoriti, kata Bersatu, selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa presiden PKR itu tidak mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya sebagai perdana menteri.
Ini sekali gus membuktikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan untuk memimpin kerajaan Perikatan Nasional, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
“YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membohongi rakyat apabila mendakwa mempunyai cukup sokongan dalam usaha menggulingkan kerajaan.
“Apa yang difikirkan hanyalah cita-cita peribadi sahaja, tanpa memikirkan kesan ketidakstabilan politik kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
“Ia juga melambangkan betapa Dato’ Seri Anwar semakin lama semakin terpisah (detached) daripada denyut nadi rakyat yang mahukan kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar hari ini mengadakan sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.
Tidak lama kemudian, Istana Negara keluarkan kenyataan, berkata pengerusi Pakatan Harapan itu tidak menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai nama ahli Parlimen yang beliau dakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu.
“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.
“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tambah beliau.
Susulan kenyataan Istana Negara itu, Wan Saiful menggesa Anwar bersara daripada politik .
“Benarkan tokoh lain mengambil alih kepimpinan pembangkang agar pembangkang di negara kita boleh menjadi pembangkang yang konstruktif (constructive opposition). – 13 Oktober, 2020.
Komen