PANDEMIK Covid-19 dijangka menelan kos AS$16 trilion, atau kira-kira 90% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Xinhua.
Memetik artikel bekas setiausaha Perbendaharaan AS Lawrence Summers dan ahli ekonomi Universiti Harvard David Cutler pada Isnin, kira-kira separuh jumlah itu adalah pendapatan yang hilang akibat kemelesetan disebabkan Covid-19, dan selebihnya kesan ekonomi jangka pendek dan penurunan kualiti kehidupan.
Artikel Jurnal Persatuan Perubatan Amerika itu diterbitkan secara dalam talian.
Kerugian ekonomi menjadi empat kali ganda daripada kos kemelesetan, lebih dua kali jumlah perbelanjaan untuk semua perang yang dilancarkan AS sejak 11 September 2001, termasuk di Afghanistan, Iraq dan Syria.
Untuk empat sekeluarga, anggaran kerugian adalah hampir AS$200,000.
Sehingga Isnin malam, AS sudah mencatat lebih 7.8 juta kes Covid-19 disahkan dan lebih 214,000 kematian, menurut data Johns Hopkins University.
Cutler dan Summers berkata output lebih rendah bukan satu-satunya ukuran kos ekonomi Covid-19, kematian dan penurunan kualiti hidup juga dapat diukur daripada sudut itu.
Sebagai contoh kos ekonomi kematian pramatang yang dijangkakan hingga tahun depan dianggarkan bernilai AS$4.4 trilion.
“Kerugian kewangan yang besar akibat Covid-19 menunjukkan pentingnya peranan kerajaan dalam menghadapi pandemik,” kata Cutler dan Summers.
Pada masa ini, AS mengutamakan perbelanjaan rawatan akut, dengan perbelanjaan jauh lebih sedikit untuk perkhidmatan dan infrastruktur kesihatan awam.
“Ketika negara berjuang untuk pulih daripada Covid-19, pelaburan yang dilakukan dalam pengujian, pengesanan kontak dan pengasingan perlu dilakukan secara kekal dan tidak dibiarkan apabila kebimbangan mengenai Covid-19 mulai berkurangan,” tambah mereka. – Bernama, 13 Oktober, 2020.
Komen