PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan strategi kerajaan dalam berdepan pandemik Covid-19.
Beliau bertanya adalah kerajaan ingin melandaikan lengkungan pandemik Covid-19 untuk mengurangkan kesan terhadap ekonomi dan sosial atau untuk memastikan tiada jangkitan dan kematian.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan hari ini keliru mengenai strategi Covid-19 sama ada “mengekang” atau “mitigasi”.
“Strategi kerajaan tidak mungkin mengekangnya hingga tiada jangkitan dan kematian, jika tidak, ia tidak akan membiarkan keadaan Covid-19 di Sabah buruk selama lebih sebulan hingga mencapai jumlah kumulatif 4,621 kes dan 35 kematian.”
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus menjelaskan strategi Putrajaya selepas memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur semalam, katanya.
Lim berkata ia supaya rakyat faham alasan di sebalik pelbagai langkah Covid-19 yang diambil selama beberapa bulan terakhir.
“Jika ia ‘mitigasi’, apakah tahap jangkitan Covid-19 yang dapat diterima kerajaan?”
Lim juga menggesa kerajaan menjelaskan bagaimana Putrajaya boleh mendakwa usaha Covid-19 adalah “pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat” sdangkan menteri besar Selangor tidak diberitahu mengenai PKPB kedua di negeri ini.
Lim juga bertanya adakah akan ada berita positif dalam pertimbangan semula keputusan Majlis Keselamatan Negara untuk mengenakan PKPB selama dua minggu di Selangor, KL dan Putrajaya.
Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri mengumumkan PKPB di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor selepas menyaksikan lonjakan kes Covid-19 di kawasan terbabit. – 13 Oktober, 2020.
Komen