PESAKIT Covid-19 mungkin mengalami simptom lebih teruk jika dijangkiti kali kedua, menurut penyelidikan dikeluarkan pada Selasa yang mengesahkan kemungkinan untuk dijangkiti lebih daripada sekali.
Satu kajian diterbitkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases mencatatkan kes jangkitan semula Covid-19 yang pertama disahkan di Amerika Syarikat (AS) - negara paling teruk terjejas wabak - dan menunjukkan pendedahan kepada virus mungkin tidak menjamin kekebalan pada masa depan.
Seorang pesakit, dari Nevada yang berusia 25 tahun, dijangkiti dua varian SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, dalam tempoh 48 hari.
Jangkitan kedua lebih teruk berbanding yang pertama, menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital dengan bantuan oksigen.
Kajian mencatatkan empat kes jangkitan semula yang disahkan di seluruh dunia, melibatkan pesakit di Belgium, Belanda, Hong Kong dan Ecuador.
Pakar berkata, jangkitan semula mungkin memberi kesan terhadap bagaimana dunia memerangi wabak tersebut.
Secara khusus, ia boleh mempengaruhi pencarian vaksin - penyelidikan terkini farmasi Holy Grail.
“Kemungkinan jangkitan semula boleh memberi implikasi signifikan terhadap pemahaman kita mengenai imuniti Covid-19, terutama jika tiada vaksin yang berkesan,” kata Mark Pandori, bagi pihak Makmal Kesihatan Awam Negeri Nevada dan penulis kajian utama.
“Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk memahami berapa lama imuniti dapat bertahan bagi individu yang terdedah kepada SARS-CoV-2 dan mengapa jangkitan kedua ini, walaupun jarang berlaku, semakin parah.”
Imuniti merosot
Vaksin berfungsi dengan mencetuskan tindak balas imun semula jadi tubuh terhadap patogen tertentu, melengkapkannya dengan antibodi untuk melawan gelombang jangkitan di masa depan.
Tetapi sama sekali tidak jelas berapa lama antibodi Covid-19 bertahan.
Bagi beberapa penyakit, seperti campak, jangkitan memberi imuniti sepanjang hayat. Bagi patogen lain, imuniti mungkin hilang pada tahap tertentu.
Penulis berkata pesakit AS mungkin terdedah kepada dos virus yang sangat tinggi bagi kali kedua, menyebabkan reaksi lebih teruk.
Sebagai alternatif, ia mungkin merupakan virus yang lebih bahaya.
Hipotesis lain adalah mekanisme yang dikenali sebagai peningkatan antibodi - iaitu, antibodi menyebabkan jangkitan lebih teruk, seperti demam denggi.
Para penyelidik menunjukkan jangkitan semula masih jarang berlaku, dengan hanya beberapa kes disahkan daripada puluhan juta jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.
Bagaimanapun, banyak kes tiada simptom dan tidak diuji positif pada mulanya. Justeru, mustahil untuk mengetahui apakah kes Covid-19 yang diterima adalah jangkitan pertama atau kedua.
Dalam ulasan berkaitan kertas The Lancet, Akiko Iwasaka, seorang profesor Imunobiologi dan Biologi Molekul, Selular dan Pembangunan di Universiti Yale, berkata penemuan itu dapat mempengaruhi aspek kesihatan awam.
“Oleh kerana terdapat lebih banyak kes jangkitan semula, komuniti saintifik akan berpeluang memahami aspek perlindungan dengan lebih baik dan seberapa kerap jangkitan semula jadi SARS-CoV-2 mendorong pengurangan tahap imuniti,” katanya.
“Maklumat ini adalah kunci untuk memahami vaksin mana yang mampu melepasi ambang itu untuk memberikan imuniti individu dan kumpulan,” tambah Iwasaka, yang tidak terlibat dalam kajian ini. – AFP, 13 Oktober, 2020.
Komen