MAJIKAN digalak menghantar kakitangan barisan hadapan mereka untuk saringan Covid-19 secara berkala, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, pekerja yang banyak berhubung dengan pelanggan wajar dihantar untuk menjalani saringan secara berkala bagi memastikan mereka bebas Covid-19.
“Majikan digalakkan untuk menghantar pekerja mereka untuk saringan dari semasa ke semasa, terutama untuk sektor yang banyak melibatkan interaksi dengan orang awam,” katanya pada sidang media maya, hari ini.
Beberapa buah kompleks beli belah sekitar Lembah Klang sejak minggu lepas mengesahkan terdapat kes positif Covid-19 dalam premis mereka.
Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan akan melakukan penilaian risiko terhadap premis terlibat dan menjalankan saringan Covid-19.
Antara kompleks beli belah yang melaporkan kes Covid-19 adalah AEON Bukit Tinggi, Mid Valley Megamall dan The Gardens, Bangsar Shopping Centre, 3 Damansara, 1 Utama, Paradigm Mall, Nu Sentral, Sunway Pyramid, Suria KLCC dan Linc KL.
Jumlah kes Covid-19 negara kini melepasi 16,000 kes dengan 563 kes baharu dilaporkan hari ini.
Dua kematian baharu juga dilaporkan. – 12 Oktober, 2020.
Komen