PKPB perlu untuk putuskan rantaian jangkitan Covid-19, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

PKPB di Lembah Klang akan bermula Rabu ini, langkah yang disifatkan KKM perlu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA tiada pilihan lain selain mengenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Sabah kerana itu adalah cara terbaik memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu berkata ia perlu dilakukan bagi mengekang penularan wabak ke negeri lain atau lebih buruk lagi, ke seluruh negara.

Dr Noor Hisham berkata keputusan itu dibuat selepas Sabah dan Lembah Klang merekodkan lonjakan kes baharu Covid-19.

“Ini adalah tindakan lebih proaktif dan berkesan terutama dalam memastikan keupayaan kesihatan awam kita dapat dirancang sebaiknya.

“Pelaksanaan perintah ini merupakan tindakan pencegahan amat penting untuk dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 sebelum ia menular ke seluruh negeri dan negara,” katanya.

Walaupun kes Covid-19 di Lembah Klang secara umumnya masih terkawal, Dr Noor Hisham berkata kawasan itu secara konsisten merekodkan kes baharu setiap hari.

“Untuk Lembah Klang yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, walaupun jumlah kes harian direkodkan kurang daripada 100, ia secara konsisten merekodkan kes jangkitan baharu setiap hari.

“Kes ini berselerak di seluruh Lembah Klang dan sekarang mula merebak ke semua wilayah lain, kecuali di Sabak Bernam, Selangor.

“Kita tidak lagi boleh tunggu untuk zon kuning jadi zon merah untuk laksanakan PKPB,” katanya menambah yang kawalan sempadan antara Selangor dan Kuala Lumpur juga sukar dilakukan.

Awal hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan yang Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah akan dikenakan PKPB selepas berlaku lonjakan kes Covid-19.

PKPB di Lembah Klang akan bermula pada Rabu ini hingga 27 Oktober, manakala di Sabah bermula tengah malam ini hingga 26 Oktober.

Selangor bagaimanapun tidak bersetuju dengan keputusan Putrajaya melaksana PKPB di seluruh negeri itu dan akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata ini adalah kerana beberapa kawasan di Selangor masih berada dalam zon hijau dan kuning dan secara keseluruhan situasi wabak negeri masih terkawal.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata yang sekiranya kes jangkitan hanya berlaku di satu atau dua kawasan dalam daerah tertentu, perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, jangkitan sudah merebak ke seluruh daerah dan sukar untuk dikawal, maka PKPB adalah pilihan terbaik.

Kes jangkitan Covid-19 negara kini sudah melepasi 16,000 kes dengan 563 kes baharu dilaporkan hari ini.

Dua lagi jadi mangsa korban wabak hari ini, menjadikan jumlah kematian Covid-19 Malaysia sekarang sebanyak 159 orang. – 12 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen