JUMLAH kes jangkitan Covid-19 di Malaysia melepasi 16,000 dengan 563 kes dilaporkan sejak 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sejak beberapa hari lalu, Sabah merekodkan jumlah kes jangkitan tertinggi 291, dengan dua lagi kes kematian, menjadikan kes kematian dari negeri Borneo itu hari kelima berturut-turut.
Jumlah keseluruhan kes jangkitan setakat ini adalah 16,220 manakala jumlah kematian adalah 159.
Dr Noor Hisham berkata Pulau Pinang merekodkan jumlah kes jangkitan tertinggi selepas Sabah iaitu 141 diikuti Selangor 69.
Kesemua 141 kes di Pulau Pinang adalah daripada kluster Reman di penjara Pulau Pinang.
Dua kematian hari ini direkodkan di Hospital Tawau dan Hospital Tuaran.
Mangsa pertama merupakan wanita berusia 85 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik. Mangsa menghidapi penyakit berkaitan jantung, tekanan darah tinggi dan jangkitan paru-paru kronik.
Mangsa kedua pula berusia 48 tahun dan bukan warganegara.
Dr Noor Hisham berkata jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi meningkat kepada 98 orang dan mereka yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal 29 orang.
Daripada 562 kes penularan tempatan, Dr Noor Hisham berkata 498 kes melibatkan warga Malaysia dan 64 kes warga asing.
Beliau turut meenyatakan 10 kes melibatkan mereka yang melakukan perjalanan ke Sabah baru-baru ini.
Katanya, setakat tengah hari ini, jumlah kes Covid-19 yang puncanya boleh dikesan kekal 363 kes.– 12 Oktober, 2020.
Komen