FELDA Umas di Tawau Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara bersasar, kata Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Menteri kanan keselamatan itu berkata keputusan itu dibuat selepas taklimat dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai situasi Covid-19 di negeri itu.
“Kita setuju untuk melaksanakan PKPD secara bersasar di Felda Umas dan arahan ini akan beruatkuasa bermula 13 Oktober hingga 26 Oktober.
“PKPD di Felda Umas melibatkan 800 rumah dengan 17,549 penduduk,” katanya.
Sebelum ini, Semporna dan Kunak dikenakan PKPD.
Di bawah PKPD, semua orang tidak dibenarkan meninggalkan kediaman masing-masing dan orang luar juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan terlibat.
“Semua jalan menghala ke Felda Umas akan ditutup. Hanya mereka yang ada kes kecemasan dibenarkan meninggalkan kediaman.
“Tetapi mereka perlu dapatkan kebenaran polis dan maklumkan mengenai pergerakan mereka,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan bersasar ke atas penduduk yang terlibat.
“Bekalan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri dan program ini akan dibantu polis dan tentera dengan sokongan Rela dan APM.
Semalam, 488 kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah.
Ismail Sabri turut mengumumkan PKPB dikuatkuasakan di seluruh Dabah bermula tengah malam ini sehingga 26 Oktober.
“MKN turut memutuskan untuk mengenakan PKPB di Sabah selepas melihat peningkatan kes Covid-19.
“Arahan itu berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 26 Oktober,” tambahnya.
Katanya, di bawah PKPB semua sekolah termasuk pra-sekolah dan institusi pengajian tinggi akan ditutup.
Semua aktiviti agama dan sosial dan juga sukan dilarang ketika tempoh ini, tambahnya.
“Masjid dan rumah ibadat lain ditutup. Majlis perkahwinan dan perhimpunan tidak dibenarkan. Aktiviti sukan turut dilarang dalam tempoh dua minggu PKPB,” katanya.
Tambahnya perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan kecuali untuk kes kecemasan.
“Pekerja yang perlu merentas daerah mesti mendaatkan surat majikan dan hanya kes kecemasan boleh melakukan perjalanan,” katanya.
Sektor ekonomi bagaimanapun dibenarkan beroperasi dengan restoran dan kedai runcit dibenarkan untuk beroperasi.– 12 Oktober, 2020
Komen