Sokongan kepada PN lambang kebersamaan hadapi Covid-19, kata Hamzah


Ia juga penyatuan menolak sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan sedia ada, kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2020.

SOKONGAN terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), lambang kebersamaan dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi ketika ini sekali gus menolak sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. 

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata sokongan pimpinan tertinggi dan ahli Parlimen daripada parti komponen seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menzahirkan sokongan padu terhadap kepimpinan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Tatkala penularan wabak Covid-19 ini masih berleluasa di seluruh dunia, kerajaan PN memberikan tumpuan penuh untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh rakyat,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah berkata berikutan situasi semasa pandemik tersebut, rakyat diseru supaya terus bersatu hati dan mematuhi prosedur operasi standard penjagaan kesihatan yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi bersama-sama mengulangi kejayaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. – Bernama, 12 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen