BANDAR Qingdao di wilayah Shandong timur China mengaktifkan pelan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 di seluruh bandar itu selepas kes baharu dicatatkan, lapor agensi berita Xinhua.
Bandar ini akan menjalankan ujian saringan di lima daerah untuk tempoh tiga hari akan datang dan dijangka semua kawasan akan menjalani saringan itu dalam tempoh lima hari, menurut notis suruhanjaya kesihatan perbandaran.
Bermula 7 pagi Isnin, penduduk di komuniti di daerah Shinan di bandar itu sudah mula berbaris untuk menjalani ujian saringan itu.
“Kira-kira 20 minit sahaja masa diperlukan untuk menjalani ujian itu. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk melakukan ujian itu,” kata seorang penduduk tempatan dikenali Wang.
Qingdao melaporkan enam kes baharu dan enam kes tanpa gejala Covid-19 sejak kes baharu muncul di bandar itu pada hujung minggu.
Hasil siasatan mendapati kes tersebut mempunyai kaitan dengan Qingdao Chest Hospital, yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 membabitkan kes import. – Bernama, 12 Oktober, 2020.
Komen