PKP Bersyarat di Selangor, Putrajaya, KL mulai Rabu, Sabah esok


Alfian Z.M. Tahir

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dikuatkuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2020.

SELANGOR, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas berlaku lonjakan kes Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Penguatkuasaan PKPB akan bermula daripada 14 hingga 27 Oktober untuk tiga negeri di Semenanjung dan Sabah bermula tengah malam ini hingga 26 Oktober. 

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPB juga akan dikuatkuasa di Sabah bermula tengah malam 13 hingga 26 Oktober.

“MKN juga memutuskan mengenakan PKPB di Sabah selepas melihat lonjakan kes Covid-19.

“Bagaimanapun, arahan itu akan bermula daripada tengah malam ini (13 Oktober) hingga 26 Oktober,” tambahnya.

Ismail Sabri menjelaskan di bawah PKPB, aktiviti yang dilarang adalah seperti berikut:

• Pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

• Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.

• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.

• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

“Walau bagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Senarai SOP lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat,” katanya.

PKPB di Sabah bermula tengah malam ini hingga 26 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2020.

Bagaimanapun, bagi seluruh Sabah, Ismail mengumumkan beberapa syarat tambah had masa operasi perniagaan.

“Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhui SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh MKN,” katanya.

Had masa operasi perniagaan di Sabah adalah seperti berikut:

• Pasar borong dan pasar harian akan beroperasi antara 6 pagi hingga 2 petang. 

• Kedai barang keperluan dan kedai runcit (6.00 pagi – 6.00 petang)

• Restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka dibenarkan (6.00 pagi – 6.00 petang). Bagaimanapun terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away.

• Operasi stesen minyak dibenarkan beroperasi (6.00 pagi – 6.00 petang)

• Perkhidmatan teksi/ e-hailing dan penghantaran makanan juga dibenarkan (6.00 pagi – 8.00 malam).

• Bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

• Farmasi dan kedai ubat-ubatan dibenarkan beroperasi seperti biasa (6.00 pagi hingga 6.00 petang).

• Operasi klinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam.

Semua sektor perikanan, perladangan, pertanian adalah dibenarkan, manakala sektor perniagaan dan perkilangan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) boleh memohon izin Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah untuk beroperasi.

PKPB mula dikuatkuasa pada 1 Mei 2020. Sebulan kemudian, kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) selepas kes jangkitan Covid-19 semakin menurun. – 12 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen