MIC ikrar sokong Muhyiddin


Ravin Palanisamy

MIC dalam satu kenyataan hari ini berkata parti itu akan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2020.

MIC tidak menerima permintaan dari Anwar Ibrahim untuk menyertai rancangan presiden PKR itu membentuk kerajaan baharu, kata setiausaha agungnya M. Asojan Muniyandy.

Tambah beliau parti itu akan terus menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Jawatankuasa Pengurusan MIC yang diketuai oleh Tan Sri SA Vigneswaran telah memutuskan bahawa parti tidak menerima permintaan untuk menjadi sebahagian daripada rancangan atau dakwaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

“Kami berpegang teguh kepada keputusan pemimpin parti komponen Barisan Nasional, terutamanya sokongan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional.

“Oleh itu, MIC menegaskan untuk memberi sokongan padu kepada Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Esok Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu. – 12 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen