SEORANG pengusaha bar dan restoran Australia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Victoria berhubung sekatan pergerakan Covid-19 yang berlanjutan selama beberapa bulan, lapor agensi berita Xinhua pada Isnin.
Plaintif, Julian Gerner, yang dijangka mengemukakan kesnya di Mahkamah Tinggi Australia, hari ini, memiliki sebuah bar dan restoran di Semenanjung Mornington, selatan ibu kota Melbourne.
Gerner dalam satu kenyataan kepada media Fairfax mendakwa sekatan pergerakan yang dikenakan di Victoria adalah “tidak perlu” dan menafikan “kebebasan asas warga Australia di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, termasuk hak kebebasan bergerak.”
Di bawah peraturan sekatan pergerakan semasa yang diperkenalkan di Victoria untuk membendung gelombang kedua jangkitan, penduduk tidak dibenarkan melakukan perjalanan lebih lima kilometer (km) dari kediaman masing-masing dan sebahagian besar diminta duduk di rumah kecuali mereka yang bekerja, belajar dan untuk membeli barang keperluan.
Perdana Menteri Victoria Daniel Andrews melanjutkan keadaan darurat selama empat minggu lagi dan memberi amaran sekatan pergerakan tidak akan ditarik balik pada minggu ini, walaupun jumlah kes agak rendah.
Victoria mencatatkan 15 kes baharu Covid-19 pada Isnin, turun lebih 700 kes berbanding awal Ogos. – Bernama, 12 Oktober, 2020.
Komen