Melabur atas fakta, bukan khabar angin, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam

Beberapa kaunter tertentu yang dikaitkan dengan nama Anwar Ibrahim dikatakan aktif didagangkan di Bursa Saham pada Jumaat,selepas presiden PKR itu umum menerima perkenan Yang di Pertuan Agong untuk mengadap bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2020.

PELABUR tidak seharusnya melabur di pasaran saham berdasarkan khabar angin, kata Anwar Ibrahim, selepas muncul cakap-cakap beberapa kaunter tertentu yang dikaitkan dengan namanya aktif didagangkan di Bursa Saham pada Jumaat.

Ia susulan presiden PKR itu umum menerima perkenan Yang di Pertuan Agong untuk mengadap bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

“Saya difahamkan tersebar khabar angin di pasaran saham yang mengaitkan nama saya dengan kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia. 

“Ini adalah tidak benar sama sekali,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Malayan United Industries Bhd (MUIIND) dan Pan Malaysia Holdings Bhd menjadi saham kedua dan ketiga paling aktif diniagakan pada Jumaat selepas Anwar keluar kenyataan Agong berkenan menerima menghadap beliau.

Adiknya, Farizon Ibrahim, merupakan pengarah di MUIIND dan Pan Malaysia Holdings.

MUIIND meningkat kepada 14 sen dengan 390 juta saham didagangkan, manakala Pan Malaysia naik 4 sen 27.59% kepada 18.5 sen, dengan 223 juta saham didagangkan pada Jumaat.

Anwar bagaimanapun tidak menamakan mana-mana syarikat.

“Ingin ditegaskan bahawa saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya
dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham. 

“Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh
individu tertentu untuk mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu.”

Setakat jam 9.53 pagi tadi, MUIND kaunter kelima paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia, susut 1.5 sen kepada 12.5 sen, dengan 43.63 juta saham didagangkan.

Pan Malaysia pula kaunter ketujuh paling aktf diniagakan ketika laporan ini disiarkan. Saham syarikat itu susut 3 sen kepada 15.5 sen, dengan 30.5 juta saham bertukar tangan.

Esok Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan dijangka mempersembahkan senarai ahli Parlimen yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada sidang media 23 September lalu Anwar umum memperolehi sokongan majoriti kukuh dan meyakinkan untuk mengambil alih kerajaan.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya. – 12 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen