Permintaan khidmat hantar bekalan makanan kini merudum, kata operator


Ravin Palanisamy

Permintaan merosot kerana orang ramai kini membeli sendiri barangan keperluan sejak PKPP dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2020.

PERKHIDMATAN penghantaran barangan keperluan ke rumah kini tidak serancak seperti semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kata operator.

Beberapa operator berkata permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran merosot sejak perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilaksanakan, sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Bagaimanapun, mereka menjangkakan khidmat penghantaran akan kembali meningkat susulan lonjakan kes Covid-19 di Selangor.

Everfresh Cameron Sdn Bhd kebiasaannya menghantar bekalan sayur segar ke restoran-restoran. Tetapi sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac, mereka beralih kepada khidmat penghantaran ke rumah.

Jurucakap syarikat itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Lau berkata secara purata sebanyak 300 hingga 400 penghantaran dibuat setiap hari semasa PKP, namun angka itu merudum kepada hanya lima penghantaran sepanjang dua minggu lalu.

“Dulu kami terima 300 hingga 400 tempahan sehari, tetapi minggu lepas hanya lima ke 10 tempahan sahaja,” katanya.

Kehidupan seharian orang ramai kembali kepada normal sejak PKPP, menyebabkan permintaan menurun, tambah Lau.

“Semasa PKP, orang ramai duduk di rumah. Sekarang ramai yang dah bekerja semula dan tiada siapa di rumah jika kami hantar barang.

“Lagipun, ramai yang ke pasar atau pasar raya untuk beli barangan keperluan sejak sekatan pergerakan dilonggarkan,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan permintaan akan kembali meningkat berikutan peningkatan kes Covid-19 sekarang ini.

“Baru-baru ini kes naik semula, jadi jumlah tempahan mula meningkat. Tidak hanya di zon merah tetapi di banyak tempat.

“Tetapi saya rasa ini sekejap sahaja, kerana sekarang ini semua orang risaukan kes yang melonjak naik,” katanya, sambil menambah orang ramai akan kembali kepada rutin biasa selepas kes menurun.

Bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, kerajaan menguatkuasakan PKP bermula 18 Mac dan kemudian melonggarkan sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei sehingga 9 Jun.

Sekatan pergerakan dilonggarkan lagi dibawah PKPP sehingga akhir tahun ini. PKPP asalnya dijadualkan berakhir pada 31 Ogos.

Putrajaya kini mengenakan semula PKPB di beberapa kawasan di Selangor, Kedah dan Sabah susulan lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini.

Mohd Hafiz Rozali, 20, dari Skudai, Johor, berkata perkhidmatan penghantaran semasa PKP menjadi punca pendapatan utama bagi keluarganya yang menjalankan perniagaan makanan laut.

Permintaan bagaimanapun berkurangan sejak PKPP dilaksanakan, katanya.

“Semasa PKP biasanya kami terima kira-kira 40 tempahan dari Senai, Kulai, Pasir Gudang dan Ulu Tiram.

“Sekarang cuma dalam 10 tempahan sehari, itupun dari Kulai dan kawasan sekitar Ulu Tiram saja,” ujar Hafiz.

Hafiz mendapat bekalan bahan mentah dari ibunya yang berniaga makanan laut di pasar di Skudai. Katanya, sejak PKPP pelanggan lebih suka membeli sendiri di pasar berbanding menempah bekalan untuk dihantar ke rumah.

Walaupun tidak sebanyak semasa PKP, anak muda itu tetap meneruskan khidmat penghantaran dan berharap orang ramai dapat menyesuaikan diri dengan cara yang lebih selamat untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Orang kena faham wabak itu masih ada di kalangan kita. Daripada pergi ke tempat sesak, lebih baik barang keperluan mereka dihantar ke rumah,” kata Hafiz.

S Vicknes, dari Nilai, Negeri Sembilan, terpaksa menghentikan khidmat penghantaran kepada pelanggan selepas permintaan berkurang.  Vicknes menjalankan perkhidmatan menghantar makanan laut selepas perniagaan pengangkutannya mengalami kerugian semasa PKP dilaksanakan.

Katanya, permintaan tidak serancak dahulu semasa PKP, menyebabkannya khidmat penghantaran makanan lautnya terpaksa dihentikan .

“Sudah dua bulan saya hentikan khidmat penghantaran.

“Biasanya saya terima 50 tempahan dalam sehari, kebanyakannya tempahan secara pukal. Kemudian, jadi kepada hanya lima tempahan dan semakin kurang.

“Saya tak dapat untung kerana penghantaran mesti dibuat pada hari yang sama saya ambil bekalan bahan mentah. Tak pulangkan modal,” katanya.

Vicknes yang mempunyai lima buah trak sebaliknya menyambung semula perniagaan pengangkutannya kerana kebanyakan pelanggan sudah kembali berniaga sejak PKPP. – 13 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen