'Polis perlu siasat semua laporan kebocoran data'


Looi Sue-Chern

Timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed berkata polis bertanggungjawab untuk menyiasat sama ada terdapat elemen jenayah atau khianat dalam dakwaan kebocoran itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2017.

SEBARANG kebocoran data, termasuk rakaman kenyataan untuk tujuan siasatan perlu disiasat oleh polis, kata timbalan menteri dalam negeri Nur Jazlan Mohamed.

Menurutnya, polis bertanggungjawab untuk menyiasat sama ada terdapat elemen jenayah atau khianat dalam dakwaan kebocoran itu. 

Nur Jazlan berkata demikian ketika mengulas laporan polis yang dibuat oleh ketua pegawai eksekutif dan editor The Malaysian Insight (TMI) Jahabar Sadiq awal hari ini yang mendakwa terdapat kebocoran maklumat sulit dalam kenyataannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kenyataan Jahabar direkodkan oleh SKMM pada 12 Disember sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas The Malaysian Insight yang didakwa menerbitkan laporan yang “menghina” perdana menteri. 

“Ini isu manusia. Kamu cari dalangnya dan keluarkan mereka,” kata Jazlan sambil memberi penekanan terhadap kebocoran data baru-baru ini yang membabitkan maklumat 46.2 juta pengguna nombor telefon bimbit di Malaysia. 

“Terdapat kes kebocoran data sejak beberapa tahun lalu. Sejak 2009, ramai yang menerima panggilan telefon yang tidak diminta, yang mana ada di antaranya cuba untuk mendapatkan maklumat peribadi. 

“Tetapi itu sebelum Akta Perlindungan Maklumat Peribadi 2010 dikuatkuasakan,” katanya. 

Dengan adanya Akta berkenaan, maklumat peribadi tidak boleh didedahkan bagi apa-apa tujuan, selain daripada tujuan asal ia didapatkan, tanpa persetujuan subjek data. 

Data yang diterima juga tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran. 

Nur Jazlan berkata kebocoran itu boleh jadi berniat jahat yang boleh membawa kepada siasatan jenayah. 

“Membocorkan butiran maklumat siasatan juga boleh menjadi satu kesalahan jenayah. 

“Polis bertanggungjawab untuk menyiasat apa-apa laporan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat elemen jenayah atau berniat jahat dalam kebocoran yang didakwa itu,” kata timbalan menteri dalam negeri. 

The Malaysian Insight cuba mendapatkan maklum balas daripada SKMM berhubung dakwaan kebocoran itu. 

Dalam laporan yang dibuat di balai polis Sri Hartamas hari ini, Jahabar berkata, beliau menyedari kebocoran itu dalam artikel yang disiarkan laman web Malaysian Gazette yang memetik Azwanddin Hamzah dari Jaringan Melayu Malaysia, yang mendakwa antara lain, syarikat Inside Media Sdn Bhd menerima dana asing. 

SKMM menyiasat TMI berikutan gesaan daripada perwakilan Umno pada perhimpunan agung parti itu kepada pihak berkuasa untuk menyiasat portal berita yang berusia 9 bulan itu kerana “menghina” perdana menteri. 

Dua minggu lalu, perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub membuat laporan polis di Johor kerana mendakwa kenyataannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah, bocor dan dimuat naik ke sebuah blog. 

Kenyataan 140 muka surat yang diberikan kepada SPRM, bersama jadual transaksi yang menunjukan wang diberikan kepada Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin menjadi viral. 

Namun Amir berkata, kenyataan yang bocor itu tidak sama dengan yang beliau berikan kepada SPRM. – 15 Disember, 2017.
   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen