PERAK menutup enam buah sekolah di daerah Larut Matang Selama selama enam hari bermula esok ekoran terdapat kes positif Covid-19 membabitkan warga sekolah itu, lapor Sinar Harian.
Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata tindakan penutupan itu selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah pencegahan awal bagi mengurangkan risiko penularan wabak.
“Langkah ini perlu diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini, apatah lagi kedudukan sekolah-sekolah ini hampir dengan kawasan pusat tahanan perlindungan di Taiping yang mempunyai rekod jangkitan Covid-19,” katanya menurut Sinar Harian.
Kementerian Pendidikan sebelum ini menutup semua sekolah di seluruh Sabah selama 16 hari berkuatkuasa antara 10 hingga 25 Oktober.
Keputusan dibuat hasil mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat. – 11 Oktober, 2020.
Komen