PKPD di 2 kawasan Lahad Datu bermula 13 Oktober


Alfian Z.M. Tahir

Jalan ke dua kawasan di Lahad Datu akan ditutup tetapi jika ada kecemasan seperti kematian atau bantuan perubatan, mereka boleh memohon kepada polis, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih di Lahad Datu susulan peningkatan kes Covid-19 di dua kawasan itu.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD akan bermula pada 13 Oktober sehingga 26 Oktober dengan melibatkan 5,452 penduduk.

“Tiada penduduk di dua kawasan ini dibenarkan meninggalkan rumah mereka. Mereka tidak boleh keluar membeli makanan atau mendapatkan barangan keperluan harian.

“Sebaliknya, kerajaan akan menyediakan barangan keperluan mereka,” kata Ismail Sabri,” menerusi video langsung di Facebook.

Bagaimanapun beliau berkata mereka yang mempunyai hal kecemasan boleh memohon permit untuk keluar dari kawasan tersebut.

“Jalan akan ditutup tetapi jika ada kecemasan seperti kematian atau bantuan perubatan, mereka boleh memohon kepada polis,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Belud bermula 13 Oktober hingga 26 Oktober.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan nasihat Kementerian Kesihatan ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu.

“Tidak seperti Lahad Datu, kilang masih boleh beroperasi dan orang awam boleh keluar membeli barangan keperluan harian.

“Hanya dua orang dari setiap keluarga dibenarkan membeli barangan. Pasar basah, pasar malam, kedai runcit dan restoran dibenarkan beroperasi.

“Namun di restoran, hanya perkhidmatan bawa pulang sahaja dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti sekolah, sukan dan keagamaan dilarang tempoh PKPB.

Semalam, Sabah mencatatkan 277 kes baharu, dengan Kota Belud dan Lahad Datu diisytiharkan zon merah selepas merekodkan lebih 40 kes.  – 11 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen