KERAJAAN negeri Pulau Pinang mula mendepositkan bayaran secara one-off RM700 kepada mangsa bencana banjir yang berlaku di negeri itu pada 4 dan 5 November lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata bantuan berkenaan yang berjumlah RM29.32 juta keseluruhannya dimasukkan ke akaun 41,892 keluarga.
“Mereka akan menerima wang bantuan berkenaan dalam akaun mereka petang ini.
“Sementara itu, bagi 5,925 keluarga yang terpilih untuk menerima wang secara tunai, kami akan mengadakan majlis esok untuk mengagihkan lagi RM4.14 juta,” katanya ketika mengumumkannya hari ini.
Lim berkata bantuan RM700 bagi setiap keluarga merupakan jumlah tertinggi yang dibayar di Malaysia untuk bantuan banjir.
Bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada program “Penang Bangkit” yang dijalankan oleh kerajaan negeri untuk membantu penduduk yang terjejas dalam bencana yang melanda awal bulan lalu, yang menyaksikan 12,500 penduduk dipindahkan daripada kediaman mereka.
Program berkenaan menerima RM105 juta daripada kerajaan negeri. Ia turut menerima jutaan ringgit secara tunai hasil sumbangan masyarakat awam, komuniti perniagaan, badan bukan kerajaan dan penderma antarabangsa.
Lim berkata 48,424 pemohon bantuan berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri manakala 1,316 lagi ditolak.
Penolakan itu adalah disebabkan permohonan bertindih dan kesilapan. Setiap isi rumah yang terjejas hanya dibenarkan membuat satu permohonan.
Lim berkata kerajaan negeri masih lagi mempertimbangkan 3,210 permohonan lain, kerana mereka memerlukan siasatan dan dokumentasi lanjut.
Tambahnya, kerajaan negeri berdepan masalah untuk memindahkan bantuan ke dalam akaun 607 pemohon yang berjaya kerana maklumat yang diberikan sama ada tidak tepat atau akaun bank mereka tidak aktif.
Pemohon boleh menyemak status permohonan di laman web Penang Bangkit di www.penangbangkit.com. – 15 Disember, 2017.
Komen