Timbang dulu gabungan UEM Sunrise - EcoWorld, kata PKR


Alfian Z.M. Tahir

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata tindakan penggabungan itu akan memberi tanggapan yang buruk terhadap kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2020.

PUTRAJAYA tidak perlu tergesa-gesa dan mempertimbangkan rasional untuk menggabungkan syarikat berkaitan kerajaan UEM Sunrise Bhd dengan pemaju swasta Eco World Development Group Bhd, kata Fahmi Fadzil.

Pengarah komunikasi PKR itu dalam satu kenyataan berkata, nilai saham EcoWorld telah merudum ke RM0.39 berbanding RM1.40 lima tahun lalu. Keadaan hutang dan aliran tunai EcoWorld juga amat membimbangkan.

Khazanah Nasional Bhd memiliki UEM Group dan memegang 66% pegangan saham dalam UEM Sunrise.

“Jika diteruskan, tidak mustahil Khazanah dilihat sebagai ‘penyelamat’ EcoWorld apabila terpaksa memberi suntikan dana yang besar, lebih-lebih lagi apabila kita diingatkan bahawa pasaran hartanah untuk beberapa tahun akan datang sudah pasti lemah.

“Kerajaan perlu berusaha lebih gigih untuk selamatkan rakyat, bukan syarikat swasta. Pada ketika rakyat menderita akibat gelombang ketiga Covid-19 dan ekonomi yang suram, tindakan meneruskan penggabungan dua syarikat ini memberi gambaran yang buruk di mana ia akan dilihat sebagai usaha menyelamatkan (bail-out) sebuah syarikat swasta menggunakan harta rakyat,” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.

Eco World memaklumkan Bursa Malaysia ia telah menerima surat daripada UEM Group yang menggariskan cadangan penggabungan itu.

Dalam surat itu, UEM Group mengatakan penyatuan itu akan memberi kekuatan dan kemampuan UEM Sunrise dan Eco World dan menjadikannya salah satu syarikat harta tanah terbesar di negara ini.

Memetik kenyataan penganalisis, Fahmi berkata sekiranya penggabuangna itu diteruskan, saham Khazanah Nasional dalam UEM Sunrise akan berkurangan dari 66% kepada 43%.

“Kehilangan kawalan ini adalah satu bentuk kerugian kepada rakyat,” tambahnya.

Pemimpin Amanah Raja Kamarul Bahrin Shah dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut membidas cadangan itu.

Raja Kamarul menggesa Putrajaya untuk pertimbangkan semula cadangan berkenaan manakal Dr Dzulkefly mempersoalkan bagaimana kerajaan akan mendaoat faedah menerusi langkah itu.– 11 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen