KORBAN wabak Covid-19 melepasi 150,000 di Brazil pada Sabtu, kata Kementerian Kesihatan, ketika kadar jangkitan coronavirus semakin perlahan di negara Amerika Selatan itu.
Jumlah itu dicapai ketika Amerika Latin dan Caribbean merekodkan 10 juta kes pada Sabtu dengan lebih 360,000 kematian. Rantau itu adalah antara yang teruk terjejas dalam aspek kematian, menurut data rasmi.
Dengan 212 juta penduduk, Brazil menyumbang jumlah kematian wabak terbanyak di rantau itu; 150,198 orang terbunuh kerana Covid-19 sejak kematian pertama dilaporkan pada Mac dan 5,082,637 kes jangkitan, kata kementerian.
Negara itu melaporkan jumlah kematian wabak kedua tertinggi di dunia selepas AS yang melaporkan lebih 213,000 kematian dan ketiga jumlah kes selepas AS dan India.
Di Amerika Latin, Brazil diikut rapat oleh Colombia yang melaporkan 894,300 kes dan 27,495 kematian; Argentina dengan 871,455 kes dengan 23,225 kematian dan Peru dengan 843,355 kes dan 33,158 kematian.
Mexico pula walaupun merekodkan jumlah kes 809,751 mempunyai jumlah kematian wabak keempat tertinggi dunia dengan jumlah korban setakat ini adalah 83,507.
Kes baharu Brazil semakin berkurangan sejak melonjak pada musim panas apabila ketika itu secara puratanya 1,000 kematian dilaporkan setiap hari selama dua bulan.
Tetapi, pakar berkata penurunan itu masih perlahan berbanding negara Eropah dan Asia, mencadangkan yang Brazil masih berada dalam gelombang pertama virus.
“Ia seperti menuruni Himalaya ke Alps, iaitu anda masih atas gung,” kata Jose David Urbaez, penyelidik Persatuan Jangkitan Brazil kepada AFP.
Walaupun begitu, dengan lebih banyak rawatan tersedia dan kesedaran makin bertambah, pakar kesihatan berkata sistem jadi lebih baik berbanding sebelum ini.
Sejak wabak mula meledak, Brazil mengharunginya dengan masalah kepimpinan.
Presiden Jair Bolsonaro merendah-rendahkan keseriusan wabak sejak mula lagi walaupun beliau sendiri positif Covid-19 dan mendesak semua sektor berjalan seperti biasa kerana bimbang kesannya kepada ekonomi.
Tetapi, gabenor dan datuk bandar menguatkuasa penjarakan sosial sejak awal krisis- walaupun apabila pandemik mula memberi kesan kepada ekonomi mereka mula melonggarkan sekatan.
Sejak mula dikesan di China lewat tahun lepas, virus itu sudah membunuh lebih sejuta orang di seluruh dunia, dengan lebih 36 juta kes jangkitan dilaporkan dan menjejaskan teruk ekonomi dunia. – AFP, 11 Oktober, 2020.
Komen