PILIHAN Raya Negeri Sarawak akan tetap diadakan tahun ini walaupun kes Covid-19 terus dikesan di negeri itu dan musim tengkujuh yang berlaku, menurut pemerhati dan pemain politik.
Malah ada yang percaya ia akan diadakan sebaik sahaja belanjawan negeri dibentangkan, ada juga yang percaya situasi tunggang langgang pembangkang negeri akan jadi pemangkin pilihan raya awal diadakan.
Mereka merasakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyerang sebelum pembangkang, Pakatan Harapan, sempat bersatu semula untuk melawan.
Mandat kerajaan negeri semasa akan tamat pada Jun tahun depan.
Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata cakap-cakap yang didengarnya ketika pulang ke kampung halaman di Kuching baru-baru ini adalah Ketua Menteri Abang Johari Openg akan membubarkan DUN selepas membentang Belanjawan 2021 negeri.
“Sebaik sahaja belanjawan negeri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
DUN akan bersidang bulan depan untuk belanjawan negeri, bagaimanapun, tarikh sebenar persidangan masih belum ditetapkan.
Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia juga merasakan perebutan 82 kerusi DUN akan berlaku sebelum hujung tahun tetapi kerana sebab berlainan.
Jayum berkata Abang Johari dan pakatan pemerintah, Gabungan Parti Sarawak, akan mengambil kesempatan untuk mengadakan pilihan raya negeri “secepat mungkin sebelum pembangkang boleh pulih daripada kelam kabut yang dihadapi mereka sekarang”.
Beliau merujuk kepada perpecahan dalam parti komponen PH-PKR dan Amanah- yang bergelut dengan krisis kepimpinan sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang pada Februari lalu.
Abang Johari memberi gambaran pilihan raya akan diadakan tahun ini apabila beliau memberitau perwakilan partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sibu, Ahad lepas, yang pilihan raya boleh diadakan dalam masa terdekat.
“Gendang sudah berbunyi,” katanya, menambah yang ia adalah persiapan untuk mereka bersiap sedia. – 11 Oktober, 2020.
Komen