ENAM kluster baharu Covid-19 telah dikenal pasti di mana empat dari itu di Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Dua lagi kluster baharu itu di Sabah dan Sarawak.
Kluster di Selangor adalah kluster Bah Manggis dengan tujuh kes positif dan merebak ke Kuala Langat, Gombak dan Petaling selain Tawau di Sabah di mana asalnya kes indeks ini.
Kes indeks itu telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 5 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.
Kluster kedua di Selangor adalah kluster Utama yang setakat hari ini terdapat keseluruhan 10 kes positif. Kluster ini merebak ke Gombak dan Petaling. Kes indeks didapati positif pada 4 Oktober.
Kluster Tasik di Selangor juga menyumbang tiga kes baharu hari ini yang mana ia merebak ke Petaling, Hulu Langat dan Klang.
Ia berasal dari Miri, Sarawak di mana kes indeks didapati positif hasil saringan di pintu masuk ke negeri Sarawak pada 3 Oktober. Setakat ini jumlah keseluruhan kes bagi kluster ini adalah sebanyak 10 kes.
Kluster baharu keempat di Selangor iaitu kluster Simera merebak ke Petaling, Klang, Hulu Langat dan Besut, Terengganu serta Kuantan, Pahang.
Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil individu bergejala pada 6 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang. Keseluruhan jumlah adalah sebanyak lapan kes.
Kluster Highway di Sabah didapati di Kota Belud dan menambahkan 15 kes hari ini.
Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 3 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah menjadikan jumlah keseluruhan positif sebanyak 23 kes.
Kluster baharu di Sarawak iaitu kluster Putra sebanyak empat kes positif.
Kluster Putra telah dikenal pasti di daerah Bintulu, Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif hasil saringan di pintu masuk ke negeri Sarawak pada 8 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Bintulu, Sarawak. Setakat hari ini jumlah kes kluster ini adalah sebanyak 5 kes. – 10 Oktober, 2020.

Komen