KES Covid-19 di Sabah kini paling banyak dan 341 kes dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Jumlah itu dikesan sejak 20 September selepas kementerian mewajibkan semua individu yang tiba dari Sabah sejak tarikh itu untuk membuat saringan, katanya dalam sidang media hari ini.
Untuk menanganinya, Dr Noor Hisham berkata saringan akan dipertingkat selain kawalan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
“Lebih banyak aktiviti saringan terus dijalankan di lapangan, terutama di pelbagai daerah PKPD dan PKPD secara pentadbiran, dan kapasiti ujian terus dipertingkatkan,” katanya.
Kerajaan pada mulanya hanya mewajibkan saringan dibuat untuk ketibaan dari Sabah sejak 27 September, sehari selepas pilihan raya negeri Sabah.
Bagaimanapun penularan di seluruh negara yang dikaitkan dengan perjalanan ke Sabah terus meningkat menyebabkan saringan diwajibkan untuk ketibaan dari negeri itu sejak 20 September.
Perubahan tersebut diumumkan beliau pada 2 Oktober, ketika jumlah zon merah meningkat kepada lima daerah, dengan keseluruhan 1,068 kes aktif di negeri itu.
Jumlah kes aktif di Sabah kini meningkat kepada 3,565 yang membentuk 92% daripada keseluruhan kes yang boleh berjangkit.
Ia bertambah dengan peningkatan 277 lagi kes yang merupakan 77.4% daripada keseluruhan jumlah kes baharu hari ini.
Sebahagian besar kes di Sabah dikesan di pusat tahanan, menurut Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan beberapa langkah baharu untuk mengekang penularan.
Antaranya, menempatkan tahanan di pusat kuarantin transit sebelum memindahkan individu tersebut ke pusat tahanan.
Kesemua sekolah di Sabah diarahkan tutup bermula esok sehingga 25 Oktober.
Para ahli Parlimen negeri itu yang akan menyertai sidang Dewan Rakyat pada 2 November pula perlu tiba seawal 17 Oktober untuk menjalani saringan dan kuarantin wajib. – 10 Oktober, 2020.
Komen