GARIS panduan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh berbeza mengikut kawasan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau memetik contoh di mana perkahwinan masih boleh dilaksanakan di Klang walaupun di bawah PKPB namun tidak di Sabah di mana kes positif Covid-19 lebih tinggi.
“Prosedur operasi standard yang asas masih sama. Kerana ini PKPB, garis panduan boleh berubah sesuai dengan senario terkini.”
“Syaratnya berbeza dari satu tempat ke tempat lain. Contohnya perkahwinan masih boleh berlaku di Klang tetapi dengan garis panduan yang ketat. Hanya 250 orang yang dapat menghadiri majlis perkahwinan pada satu masa.”
“Keadaan di Sabah, terutama di kawasan pesisir, jauh berbeza dengan Klang. Hampir setiap kawasan di pantai timur Sabah adalah kawasan zon merah dan kesnya tinggi,” jelasnya dalam siaran langsung Facebook.
Beliau kemudian menambah bahawa walaupun majlis perkahwinan diizinkan di Klang, penganjur perkahwinan mesti memberitahu polis mengenai acara tersebut sebelum majlis itu dapat dilaksanakan.
“Mereka perlu memberitahu polis terlebih dahulu agar polis dapat memantau keadaannya dan jika ada kemungkinan untuk tangguhkan, ia perlu ditangguhkan jika tidak mematuhi garis panduan dan tidak memaklumkan hal ini kepada polis,” tambahnya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengecam kerajaan awal hari ini kerana membenarkan acara perkahwinan berlangsung dalam tempoh PKPB.
Beliau mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menerapkan keputusan itu .
“Perhimpunan tidak digalakkan untuk bendung virus ... namun Ismail Sabri Yaakob katakan acara perkahwinan dengan kehadiran 500 orang boleh dilaksanakan.”
“Bolehkan kumpulan agama dan penganjur sarkas minta hak istimewa yang sama?
“Adakah PKPB sudah jadi hal lawak? Abah PM Muhyiddin Yassin, apakah ini masanya untuk rotan? ” katanya di akaun Twitter hari ini. – 10 Oktober, 2020.
Komen