AKTIVITI sukan di kawasan zon merah dilarang manakala aktiviti di zon kuning dan hijau wajib mematuhi peraturan, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu berkata, beliau dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican yang acara sukan berkait sentuhan fizikal telah ditangguhkan atau dibatalkan.
“Kegiatan sukan di kawasan zon merah tidak dibenarkan. Di zon kuning dan hijau mereka boleh teruskan tetapi mesti patuh SOP.”
“Saya telah diberitahu oleh menteri bahawa sukan berkait sentuhan fizikal telah dibatalkan atau ditangguhkan walaupun kerajaan belum memutuskan perkara itu,” kata Ismail Sabri ketika ditanya sama ada kerajaan akan melarang kegiatan sukan berikutan risiko Covid-19.
Beliau kemudian berterima kasih kepada kementerian kerana telah mengambil langkah proaktif membendung penyebaran virus Covid-19.
Pada Jun, di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) Malaysia membenarkan aktiviti sukan berkait sentuhan fizikal disambung semula.
Sebelum ini, Ismail Sabri berkata pertandingan tidak akan dibenarkan. Sementara itu, bagi sukan yang tidak bersentuhan, para peserta diminta menjaga jarak antara tiga hingga lima meter.
Kolam renang awam dan swasta juga sama, manakala penganjur tidak dibenarkan mengadakan pertandingan atau acara dengan perhimpunan besar-besaran. – 10 Oktober, 2020.
Komen