PKPD di asrama pekerja, bukan rumah kelab Tropicana, kata menteri


PKPD di asrama pekerja Tropicana akan berlangsung selama 14 hari. Semua 500 pekerja yang tinggal di sana akan diperiksa dan diuji, kata Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2020.

ASRAMA pekerja di resort golf Tropicana akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) bermula tengah malam esok, kata Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang merupakan Menteri Pertahanan berkata Kelab Golf Petaling Jaya dan kawasan perumahan di kawasan itu tidak terlibat dengan sekatan pergerakan PKPD. Ia dikuatkuasakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di kawasan itu.

“PKPD akan berlangsung selama 14 hari. Semua 500 pekerja yang tinggal di sana akan diperiksa dan diuji,” katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Lima pekerja kelab itu hari ini dilaporkan positif Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kompleks beli belah terkemuka, 1 Utama di Bandar Utama dan Tropicana Golf Club & Country Resort diarah tutup untuk proses sanitasi selepas beberapa kes Covid-19 dilaporkan di sana.

Ismail berkata ia  bagi membolehkan kesemua mereka menjalani ujian sariangan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Pegawai Daerah Petaling Johary Anuar berkata penutupan itu akan bermula esok (11 Oktober).

“Kompleks beli belah 1 Utama merekodkan empat kes positif melibatkan tiga pekerja dan seorang pelanggan, sementara Tropicana Golf Club merekodkan lima kes. 

“Arahan untuk menutup kedua-dua premis akan bermula pada 11 Oktober. Pengesanan kontak rapat dan saringan serta sanitasi akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Johary juga menggesa orang awam yang melawat Parkson Elite dan Mac City di 1 Utama untuk menjalani saringan Covid-19 serta merta.

Setakat ini, Selangor merekodkan 2,507 kes positif Covid-19 dengan 2,191 kes pulih dan 24 kematian.  – 10 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen