PUTRAJAYA perlu memberi dana mencukupi bagi menangani masalah kesihatan mental yang kian meningkat kerana pandemik Covid-19, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan dikeluarkan sempena Hari Kesihatan mental Sedunia 2020, beliau berkata kesihatan mental antara lapangan yang amat kurang diberi tumpuan dan juga pendanaan awam.
“Peri penting aspek kesihatan mental tidak boleh dikesampingkan, apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19.
“Dalam situasi ekonomi yang meruncing masa kini, kerajaan seharusnya bekerja untuk memastikan dana yang munasabah diperuntukkan dalam membendung gejala ini.
“Pendanaan yang cukup mesti diperuntukkan dalam mendukung mereka yang terkesan dengan masalah mental, termasuk mereka yang di barisan hadapan,” katanya melalui Facebook rasminya hari ini.
Memetik tinjauan global oleh Ipsos baru-baru ini, presiden PKR itu berkata sebanyak 44% rakyat Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak bermulanya pandemik ini.
Tinjauan itu juga mendapati 37% responden merasa tertekan untuk beberapa ketika, sementara 7% pula berkata mereka sentiasa berasa tertekan sepanjang masa.
Anwar berkata, akibat daripada pandemik ini ramai orang akan mendapat kesan mendalam.
“Dampaknya sangat besar tatkala ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian di kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya.
“Keadaan memburuk tatkala hilang pekerjaan dan sumber pendapatan harian.
“Kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental sebagai akibat dari sekolah-sekolah yang ditutup, perhubungan yang terhad dengan aktiviti ko-kurikulum, dan masa bersama rakan-rakan turut terkesan.
“Ada juga sebilangan warga yang terpaksa dihadapkan dengan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung,” katanya.
Anwar, yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata stigma yang menyelubungi pesakit mental perlu dihapuskan dan rakyat perlu membantu mereka yang terkesan.
“Kita mesti tingkatkan semangat kebersamaan dalam mendukung antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis hari ini. .
“Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah pada gejala ini, dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi,” katanya. – 10 Oktober, 2020.
Komen