Ahli Parlimen Sabah wajib kuarantin di KL sebelum sidang 2 Nov


Ahli Parlimen Sabah perlu hadir seawal 17 Oktober dan disaran berada di KL sepanjang kuarantin dan persidangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2020.

SEMUA ahli Parlimen dari Sabah diarah tiba di Kuala Lumpur seawal 17 Oktober untuk membolehkan mereka menjalani kuarantin sebelum dibenar menghadiri sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Langkah itu bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, menurut surat dari Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin kepada ahli Parlimen berkenaan.

“Yang Berhormat diminta tiba di Kuala Lumpur selewat-lewatnya Sabtu 17 Oktober bagi membolehkan yang berhormat menghadiri sidang Dewan Rakyat mulai dari hari pertama iaitu Isnin 2 November,” katanya.

Surat bertarikh 9 Oktober tersebut yang didedahkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin di Facebook menyatakan ketetapan itu diputuskan Majlis Keselamatan Negara semalam.

Dalam surat itu, ahli Parlimen terbabit juga disaran berada di Kuala Lumpur sepanjang persidangan yang akan bermula 2 November dan juga sewaktu kuarantin 14 hari.

Jika wakil rakyat itu kembali ke Sabah dalam tempoh itu, proses sama perlu diulangi, tegasnya.

Dalam surat itu, Nizam Bacha menjelasnya wakil rakyat itu wajib mengaktifkan aplikasi MySejahtera dan menjalani ujian sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

Katanya, mereka akan dipakaikan gelang pengawasan dan diberi Surat Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) yang berkuatkuasa 14 hari.

Kuarantin akan dijalani di kediaman sendiri atau hotel penginapan ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Ujian seterusnya perlu dijalani pada hari ke-13 kuarantin sebelum diberi surat kelepasan sekiranya didapati negatif, kata Nizam Mydin.

Ketibaan ahli Parlimen Sabah itu menjadi tumpuan memandangkan semakin ramai ahli politik didapati positif Covid-19, yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya negeri bulan lalu.

Terbaru Ketua Menteri baharunya, Hajiji Mohd Noor disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di Queen Elizabeth Hospital, Kota Kinabalu.

Jangkitan sewaktu kempen pilihan raya itu juga menular di Semenanjung dan menyebabkan beberapa sekolah, pusat pentadbiran negeri dan bangunan awam terpaksa ditutup.

Putrajaya menafikan jangkitan berpunca dari ahli politik dan menyalahkan orang awam yang dituduh lalai dalam mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusannya Selasa lalu juga mengancam untuk mengenakan tindakan lebih keras ke atas rakyat untuk menangani jangkitan Covid-19. – 10 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen