KOMPLEKS beli belah terkemuka, 1 Utama di Bandar Utama dan Tropicana Golf Club & Country Resort diarah tutup untuk proses sanitasi selepas beberapa kes Covid-19 dilaporkan di sana.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Pegawai Daerah Petaling Johary Anuar berkata penutupan itu akan bermula esok (11 Oktober).
“Kompleks beli belah 1 Utama merekodkan empat kes positif melibatkan tiga pekerja dan seorang pelanggan, sementara Tropicana Golf Club merekodkan lima kes.
“Arahan untuk menutup kedua-dua premis akan bermula pada 11 Oktober. Pengesanan kontak rapat dan saringan serta sanitasi akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Johary juga menggesa orang awam yang melawat Parkson Elite dan Mac City di 1 Utama untuk menjalani saringan Covid-19 serta merta.
“Mereka yang pergi ke bahagian kosmetik dan pewangi di Parkson Elite antara 30 September hingga 7 Oktober dan mereka yang memasuki Mac City antara 25 September hingga 30 September, diminta menjalani saringan.
“Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan menjalankan ujian saringan pada 14 Oktober hingga 15 Oktober di 1 Utama bermula 9 pagi hingga 2 petang dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang melawat kedua-dua premis pada tarikh dinyatakan,” katanya lagi.
Selangor sehingga kini merekodkan 2,507 kes Covid-19 dengan 2,191 kes dilaporkan pulih.
24 orang terbunuh kerana wabak di negeri itu. – 10 Oktober, 2020.
Komen