GERGASI perisian Microsoft akan membenarkan kakitangan bekerja dari rumah secara tetap sekiranya mereka memilih berbuat demikian, menjadi majikan terbaru meluaskan kebenaran kerja dari rumah yang dicetuskan pandemik Covid-19.
Laman web berita teknologi AS, The Verge, berkata kakitangan Microsoft pada masa sekarang masih bekerja dari rumah disebabkan krisis kesihatan awam yang masih berlaku dan syarikat itu dijangka tidak akan membuka kembali pejabatnya di AS sekurang-kurangnya Januari tahun depan.
Tetapi, apabila pejabat mula dibuka, kakitangan boleh memilih untuk bekerja dari rumah secara tetap dengan kebenaran pengurus dan mereka perlu mengosongkan ruang pejabat.
“Pandemik Covid-19 mencabar kita untuk berfikir, hidup dan bekerja dalam cara baharu,” kata Ketua Sumber Manusia Kathleen Hogan dalam notis dihantar kepada pekerja yang dilihat The Verge.
“Kami akan menawarkan seberapa banyak fleksibiliti dan menyokong cara kerja individu, dan pada masa sama menyeimbangkan keperluan perniagaan dan memastikan kita menghidupkan budaya bersama.”
Dalam satu coretan blog awam selepas berita itu dilaporkan, Hogan berkata syarikat berpandangan pekerja yang menghabiskan kurang 50% masa mereka bekerja di rumah sebagai “standard”, tetapi masih tidak menghapuskan semuanya waktu bekerja di pejabat.
“Kami tidak komited untuk mempunyai semua kakitangan bekerja dari rumah, kerana kami percaya ada nilai untuk kakitangan bersama-sama di tempat kerja,” kata Hogan.
The Verge melaporkan sebilangan kakitangan tidak tertakluk kepada aturan kerja luar pejabat seperti pekerja dalam makmal Microsoft atau bahagian latihan.
Dalam memonya, pengasas bersama Bill Gates pula berkata ada kemungkinan untuk kakitangannya bekerja dari luar pejabat di seluruh AS dan mungkin luar negara, kata The Verge.
Mereka yang mahu berpindah mungkin menyaksikan gaji mereka berubah berdasarkan tempat baharu, dan walaupun syarikat menampung kos ubah suai pejabat rumah, ia tidak akan menanggung kos pemindahan.
Setakat akhir Jun, Microsoft menggaji 163,000 orang kakitangan, 96,000 daripada mereka tinggal di AS, menurut pemfailan di bursa saham.
Beberapa syarikat utama teknologi juga membenarkan kakitangan bekerja dari rumah termasuklah Facebook, dengan ketuanya Marxk Zuckerberg berkata separuh kakitangan gergasi media sosial itu boleh bekerja di luar pejabat dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi. – AFP, 10 Oktober, 2020.
Komen