SELEPAS Putrajaya semalam membenarkan majlis perkahwinan sehingga 500 orang tetamu diadakan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD), Charles Santiago meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya mengikut “nasihatnya” sendiri dan menggunakan rotan.
Ahli Parlimen Klang itu juga menimbulkan persoalan sekiranya kebenaran sama akan diberikan kepada majlis keagamaan atau acara lain.
“Perhimpunan tidak digalakkan untuk mengekang penularan virus, Ismail Sabri Yaakob kata majlis kahwin sehingga 500 orang boleh (dibuat).
“Patutkah kumpulan agama dan penganjur sarkas minta kelebihan (kebenaran) sama?
“Adakah PKPD sudah jadi PKP lawak? Abah PM Muhyyiddin Yassin, masa untuk rotan?” tulisnya di Twitter.
Komen Santiago merujuk kepada perutusan khas Muhyiddin Selasa lalu apabila perdana menteri secara berjenaka berkata beliau sedia menggunakan rotan bagi sesiapa yang melanggar SOP Covid-19.
Bagaimanapun, jenaka rotan itu mencetuskan kemarahan di media sosial yang merasakan kumpulan majoriti yang tidak patuh SOP adalah pemimpin kerajaan.
Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, beberapa politikus disahkan positif Covid-19 termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air ahmad Masrizal Mohamad.
Malam tadi, Ketua Menteri Sabah baharu Hajiji Mohd Noor dan isteri turut diuji positif Covid-19.
Sebahagian Klang di Selangor pula diletakkan di bawah PKPD selepas lebih 40 kes Covid-19 dilaporkan di situ.
Selain Klang, PKPD juga dikuatkuasa di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah. – 10 Oktober, 2020.
Komen