PEMAJU Lebuhraya lembah Klang Timur (EKVE) memohon maaf kepada penduduk di Hulu Langat, Selangor yang beberapa kali ditimpa banjir kilat pada tahun lepas.
Pengurus Kanan Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB), Khalid Mohamed berkata sebagai pemaju projek, mereka akan memastikan kejadian itu tidak berulang lagi di masa depan.
“Kami telah mendengar aduan daripada penduduk Kg Felcra Semungkis dan kami akui ia salah kami, dan kami mohon maaf.
“Ia tanggungjawab kami untuk memastikan banjir lumpur di kawasan itu dielakkan,“katanya pada taklimat media di pejabat AZRB di Kuala Lumpur.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan penduduk Kg Felcra Semungkis, Kg Sg Michu dan Kg Sg Gahal selama setahun telah mengalami banjir kilat dan tanah runtuh sebaik pembinaan EKVE bermula pada September 2016.
Khalid berkata mereka sentiasa bertemu dengan penduduk di sana.
“Kejadian banjir ini bukan pertama kali. Sebelum pembinaan bermula pun, memang ada banjir kecil.
“Kami sudah mengambil beberapa langkah pencegahan banjir yang perlu, seperti meletakkan lima pembentung, mendalam serta melebarkan sungai dan kolam penahan banjir.” – 15 Disember, 2017.
Komen