KETUA Menteri Sabah Hajiji Mohd Noor kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, selepas disahkan positif Covid-19, maklum setiausaha perhubungan awamnya.
“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor telah secara sukarela menjalani kuarantin kendiri beberapa hari yang lalu setelah salah seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.
“Semasa dalam kuarantin kendiri tersebut, beliau menjalani ujian Covid-19 sekali lagi. Hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif,” kata Effendi Mohamed Sunoh dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Effendi, Hajiji dalam keadaan stabil dan masih menjalankan tugas menerusi panggilan telefon dan sidang video.
“Kerajaan negeri berfungsi seperti biasa.”
Sementara itu, The Malaysian Insight difahamkan isteri Hajiji, Juliah Salaq juga disahkan dijangkiti Covid-19.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Hajiji dan isterinya ditempatkan dalam satu bilik di Hospital Queen Elizabeth.
Meskipun dikatakan dalam keadaan stabil, ketua menteri itu diperiksa setiap empat jam.
“Bagaimanapun beliau dalam keadaan baik,” kata sumber.
Hospital Queen Elizabeth antara tujuh hospital yang dikhaskan untuk merawat pesakit Covid-19 di Malaysia. Hospital berkenaan buat masa ini merawat kira-kira 400 pesakit Covid-19, tambah sumber itu lagi.
Sebanyak 274 kes baharu dilaporkan di Sabah hari ini.
Hajiji, yang juga ketua Bersatu Sabah dan Adun Sulaman, dilantik menjadi ketua menteri Sabah ke-16 pada 29 September, selepas kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke atas Warisan Plus dalam pilihan raya negeri.
Beliau ahli politik terbaharu yang disahkan positif Covid-19 selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifili Mohamad al-Bakri.
Zulkifli pada Isnin lalu mengesahkan beliau dijangkiti virus itu. Beliau kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Lebih separuh menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin umum menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah selepas Zulkifli disahkan positif. – 9 Oktober, 2020.
Komen