SK Putrajaya Presint Presint 8 (1) diarah tutup


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan setuju supaya sekolah ditutup tanpa menunggu penilaian risiko oleh KKM sekiranya ada guru atau murid yang disahkan positif Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2020.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1) diarah tutup lapan hari bermula hari ini sehingga 16 Oktober. 

Tinjauan Bernama mendapati notis berwarna merah arahan penutupan itu digantung di kedua-dua pintu masuk ke kawasan sekolah itu. 

Notis yang ditandatangani Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Putrajaya Abu Bakar Bachik sebagai pegawai diberi kuasa itu menyatakan penutupan atas alasan sekolah berkenaan berada dalam keadaan yang mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit.

Bagaimanapun usaha Bernama untuk mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah gagal apabila pihak berkaitan tidak dapat dihubungi.

Terdahulu tular di aplikasi WhatsApp gambar notis perintah tutup premis yang digantung di pagar sekolah.

Notis itu menyebut: “Pada menjalankan kuasa di bawah perenggan 18(1)(f),  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, saya Pegawai diberi kuasa dengan ini memerintahkan penutupan seluruh bahagian premis berikut: Sekolah Kebangsaan Putrajaya 8 (1)”.

Pada 2 Oktober, tular di Twitter menyatakan dua kelas di sekolah itu ditutup 14 hari berikutan terdapat jangkitan Covid-19. – Bernama, 9 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen