KEMENTERIAN Kesihatan sedang berusaha menyelesaikan masalah logistik untuk mempercepatkan pemprosesan sampel ujian Covid-19 dari Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sabah kini mempunyai keupayaan untuk memproses antara 2,500 hingga 3,000 sampel ujian setiap hari.
Sebahagian sampel bagaimanapun dibawa ke Semenanjung untuk diproses sejak kementerian meningkatkan aktiviti pengujian di negeri ini yang kini menjadi pusat virus.
“Sekarang kita sedang menangani masalah logistik untuk membawa sebahagian sampel dari Sabah ke Institut Penyelidikan Perubatan di Semenanjung dan dengan penerbangan harian mungkin kita dapat mempercepatkan ujian (pemprosesan),” katanya dalam sidang akhbar maya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata kementerian telah menetapkan penanda aras antara 48 hingga 72 jam untuk menyelesaikan proses berkenaan.
Malaysia telah meningkatkan kapasiti ujiannya dengan meningkatkan jumlah makmal dari 23 menjadi 60.
Dengan ini, kapasiti ujian telah meningkat dari 1,000 kepada 41,000 sampel setiap hari.
Noor Hisham berkata, kementerian hanya menggunakan 51% dari kemampuannya. – 9 Oktober, 2020.
Komen