KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu Covid-19, masing-masing satu di Perak, Terengganu dan Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di seluruh negara kini 48.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Atap dikesan di Kota Kinabalu di Sabah, di mana kes indeks dikenal pasti melalui ujian saringan bergejala pada 4 Oktober.
Individu berkenaan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, dan saringan kontak rapat mengesan tiga lagi individu dijangkiti Covid-19.
Sehingga 12 tengah hari semalam, seramai 49 individu telah disaring, kata Dr Noor Hisham. Sembilan individu masih menunggu keputusan.
Di Perak, kluster Bah Lada dikesan di daerah Perak Tengah dan daerah Hilir Perak, selepas dua kes indeks dikenal pasti melalui ujian saringan pulang dari Sabah masing-masing pada 3 Oktober dan 6 Oktober. Dua individu itu dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, kata Dr Noor Hisham.
Tambahnya, hasil saringan kontak rapat dua lagi individu disahkan positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari semalam, seramai 41 orang telah disaring, dan enam masih menunggu keputusan.
Kluster ketiga pula, dipanggil kluster Bah Sahabat, dikesan di Terengganu, iaitu di daerah Marang dan Kuala Nerus. Kes indeks dikenal pasti melalui ujian saringan pulang dari Sabah pada 25 September.
Lapan lagi invidu dikesan positif melalui saringan kontak rapat. Sehingga kini, seramai 88 individu telah disaring dan 44 masih menunggu keputusan, menurut Dr Noor Hisham.
Selain tiga kluster baharu yang dilaporkan, 14 kluster aktif lain menyumbang kepada kes baharu hari ini, katanya.
Kluster Ramai-Ramai di Sandakan merekod angka tertinggi dengan 22 kes, diikuti 13 kes dari kluster Benteng Lahad Datu. – 9 Oktober, 2020.
Komen