MALAYSIA mencatatkan enam kematian akibat jangkitan Covid-19 hari ini, kesemuanya di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan keseluruhan kematian kini 152 orang sejak pandemik itu melanda negara.
Selama dua hari berturut-turut kesemua kes kematian dilaporkan di Sabah.
Dr Noor Hisham juga berkata daripada 354 kes baharu yang direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, 274 dilaporkan di negeri itu.
Dalam sidang media yang disiarkan langsung di Facebook hari ini, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, 352 adalah kes penularan dalam negara.
Malaysia sehingga kini merekodkan 14,722 kes positif Covid-19, katanya.
Tambahnya, bagi enam kematian yang dilaporkan, tiga mangsa mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan asma.
Sementara itu, seramai 188 pesakit yang sembuh dari jangkitan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh 24 jam yang lalu. Ini menjadikan seramai 10,707 pesakit sembuh sepenuhnya dari Covid-19 setakat ini, kata Dr Noor Hisham.
Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 3,863 kes. Beliau juga berkata 68 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dan 20 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Lapan kluster di Sabah menyumbang 49 kes baharu di negeri itu, manakala 120 kes lagi dikesan melalui saringan kontak rapat.
Di Selangor, 24 kes baharu dilaporkan hari ini, manakala Kedah dan Sarawak masing-masing 10 kes.
Negeri lain yang mencatatkan kes baharu adalah Kuala Lumpur (8), Pulau Pinang (8), Johor (5), Terengganu (5), Negeri Sembilan (4), Putrajaya (2), Perak (1) dan Labuan (1). – 9 Oktober, 2020.

Komen