Kes positif Covid-19 global kini lebih 36 juta 


Orang ramai menunggu di lokasi ujian Covid-19 di kawasan Borough Park di Brooklyn, New York, AS. New York diramal berdepan gelombang kedua susulan laporan berlakunya peningkatan peratusan kes positif. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2020.

DI seluruh dunia, 36.2 juta kes koronavirus didiagnosis secara rasmi sejak pertama kali muncul di China akhir tahun lalu, menurut perkiraan AFP pada 1100 GMT, Khamis berdasarkan sumber rasmi.

Daripada jumlah itu 1,057,084 meninggal dunia.

Amerika Syarikat mempunyai jumlah kematian tertinggi, dengan 211,844, diikuti oleh Brazil dengan 148,228, India 105,526, Mexico 82,726 dan Britain 42,515.

Brazil melepasi 5 juta jangkitan koronavirus.

Jerman mengalami “lonjakan membimbangkan”, kata Menteri Kesihatan Jens Spahn, ketika jumlah jangkitan harian baharu melepasi 4,000 untuk pertama kalinya sejak awal April.

Ekonomi terbesar di Eropah itu mempunyai jumlah kematian yang relatif rendah berbanding negara Eropah lain.

Tetapi Spahn berkata jumlah di Berlin dan pusat kewangan Frankfurt, menambah jangkitan daripada acara keluarga atau parti persendirian yang mendorong peningkatan kes, dengan golongan muda “berpesta, melancong, menganggap mereka tidak akan terjejas”.

Sementara itu, di Poland mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai Sabtu, kata Perdana Menteri Mateusz Morawiecki, selepas kes koronavirus mencecah rekod tertinggi harian tertinggi iaitu 4,280.

“Gelombang kedua telah sampai  dan kita harus menghadapinya dengan cara yang tegas,” kata Morawiecki kepada wartawan, menjelaskan seluruh negara EU yang berjumlah 38 juta kini akan dianggap sebagai “zon kuning”.

Austria pula mencatat jumlah jangkitan koronavirus paling tinggi dalam sehari, menjadikan industri pelancongan negara berada dalam tekanan ketika musim ski semakin hampir.

Ia menunjukkan 1,209 jangkitan baru dalam tempoh 24 jam, menurut kementerian kesihatan. – AFP, 9 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen