KKM bersiap sedia hadapi lonjakan kes Covid-19, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara langkah utama yang diambil termasuklah pemantauan dan pengesanan kontak secara aktif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaksanakan tiga langkah utama bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini, susulan kes baharu dijangka akan terus melonjak dalam tempoh seminggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara langkah utama yang diambil termasuklah pemantauan dan pengesanan kontak secara aktif.

Jabatan kesihatan katanya telah memulakan saringan ke atas kes penyakit seperti influenza (ILI) dan  Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) sebagai langkah pemantauan.

“Ini penting bagi kami untuk mengesan (kes baharu), dengan menggunakan kaedah mencari, mengasing dan merawat,” katanya pada sidang media secara maya hari ini, sambil menambah kaedah kedua adalah pengesanan kes. 

Kaedah ketiga pula kata Dr Noor Hisham membabitkan peranan orang ramai dengan duduk di rumah dan hanya keluar apabila perlu.

Langkah ini katanya sangat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan kerana wabak Covid-19.

Berkenaan Sabah yang setakat ini merekodkan 1,901 kes, Dr Noor Hisham berkata KKM berharap dapat melandaikan lengkuk jangkitan melalui aktiviti mengekang penularan dengan kerjasama pelbagai agensi kesihatan.

“Kita menjangkakan kes akan bertambah dalam seminggu akan datang.

“Bagaimanapun, kes sedikit menurun dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, tetapi kita akan menjalankan pengesanan dan saringan secara aktif,” katanya.

Menurutnya, mereka yang pulang dari Sabah sebelum 27 September lalu dan mengalami gejala atau kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19 perlu menjalani ujian saringan.

Dr Noor Hisham turut menyarankan mereka yang tidak mengalami gejala menjalani ujian.

Bermula 27 September lalu KKM mewajibkan ujian saringan Covid-19 dan kuanrantin di rumah ke atas individu yang pulang dari Sabah.

Ujian saringan dijalankan di pintu masuk antarabangsa dan domestik sehingga Sabtu. – 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen