Persatuan perubatan gesa usaha bersepadu negeri tangani Covid-19


MMA hari ini menggesa setiap negeri mengambil tanggungjawab dan bertindak sendiri bagi menangani pandemik Covid-19 dengan pantas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 8 Oktober, 2020.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) hari ini menggesa setiap negeri agar mengambil tanggungjawab dan bertindak sendiri bagi menangani pandemik Covid-19 dengan pantas dalam bidang kuasa masing-masing.

Presiden MMA Profesor Dr Subramaniam Muniandy berkata sudah tiba masanya untuk negeri-negeri menyahpusat saluran komunikasi.

“MMA mencadangkan agar Bilik Gerakan Krisis Negeri mengkoordinasi semua aktiviti dan memastikan keperluan negeri itu dalam semua aspek dipenuhi manakala badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam diselaras bagi membantu usaha tersebut,” katanya.

Dr Subramaniam berkata semasa berlaku peningkatan kes dalam negara, semua data relevan termasuk peralatan, tenaga kerja, bilangan katil, keupayaan melakukan ujian dan perkara-perkara lain harus dipamerkan di Bilik Gerakan Negeri bagi membolehkan semua pihak berkepentingan menyelaras terutama berhubung data mengenai kekurangan dan keperluan.

Beliau turut mencadangkan agar semua hospital, klinik serta doktor swasta menyertai peperangan menentang pandemik itu dan kerajaan persekutuan menyalurkan semua bantuan dengan segera termasuk dana, sumber dan tenaga kerja. – Bernama, 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen