KEMENTERIAN Kesihatan mengesan lima kluster baharu Covid-19, salah satu daripadanya adalah di Kuala Lumpur.
Kluster Jalan Pantai yang mempunyai lapan jangkitan dikesan di Lembah Pantai.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Facebook hari ini berkata, kluster berkenaan dikesan ketika kes indeks disahkan positif selepas mengalami gejala dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Setakat tengah hari ini, 15 individu disaring dan lapan daripadanya disahkan positif. Tujuh lagi masih menunggu keputusan.
Sementara itu, dua lagi kluster dikesan di Sabah.
Kedua-dua kluster dikesan selepas pesakit indeks disahkan positif Covid-19 yang menjalani ujian saringan apabila didapati bergejala, sama seperti kluster Jalan Pantai.
Kluster Tujuh Serangkai di Tuaran melaporkan 23 kes positif.
Setakat tengah hari ini, 352 individu disaring yang mana 302 daripadanya masih menunggu keputusan.
Kluster kedua di Sabah dikenali sebagai Tanamera menyaksikan sembilan kes positif. Kluster berkenaan dikesan di Tawau dan 13 individu menjalani ujian saringan tengah hari ini.
Sementara itu, Sarawak dan Labuan masing-masing melaporkan satu kluster baharu. Kes indeks kedua-dua kluster berkenaan melakukan perjalanan di kawasan virus di Sabah.
Kluster Bah Arnab di Sarawak melaporkan empat kes positif manakala kluster Bah Bangat di Labuan merekodkan sembilan kes. – 8 Oktober, 2020.
Komen