Kluster baharu Covid-19 dikesan di Kuching 


Desmond Davidson

Sarawak merekodkan lapan kes jangkitan baharu iaitu lima dikesan di Kuching termasuk tiga dari kluster Bah Arnab, dua di Miri dan satu di Bintulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

SARAWAK hari ini mengumumkan kluster baharu Covid-19 dikesan di negeri itu selepas tiga daripada sebuah keluarga disahkan positif virus berkenaan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Douglas Uggah berkata kes indeks kluster berkenaan adalah seorang lelaki yang berulang-alik antara Sabah dan Sarawak untuk urusan perniagaan.

Lelaki berkenaan disaring Jumaat lepas ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas pulang dari Sabah dan keputusan yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan beliau positif. 

Uggah berkata penyebaran itu kerana prosedur operasi standad yang dilaksanakan ketika itu tidak memerlukan lelaki terbabit menjalani kuarantin wajib di hotel yang ditetapkan. 

Uggah yang juga timbalan ketua menteri berkata memandangkan keputusan ujian saringan itu keluar kemudian, lelaki berkenaan sebaliknya menjalani kuarantin kendiri di rumah. 

Walaupun menjalani SOP kuarantin di rumah, Uggah berkata lelaki terbabit bercampur dengan ahli keluarganya.

Merujuk kepada kes anggota polis yang menjangkiti ahli keluarganya selepas pulang dari bertugas pada pilihan raya di Sabah, Uggah berkata penularan wabak itu tidak akan berlaku sekiranya kuarantin waji dijalankan di hotel yang disediakan. 

Sarawak memperketatkan pintu masuk dengan mewajibkan mereka yang tiba di negeri itu menjalani kuarantin selama 14 hari, termasuk rakyat Sarawak.

Tiga ahli keluarga lelaki terbabit merupakan antara 16 orang yang dipanggil Jabatan Kesihatan untuk ujian saringan selepas mereka didapati merupakan kontrak rapat. 

Uggah berkata, buat masa ini, penularan daripada kuster Bah Arnab itu masih terkawal kerana pengasingan dibuat terhadap keluarga kes indeks. 

Katanya, pengesanan kontak dan siasatan punca jangkitan masih diteruskan. 

Sarawak hari ini mengesan lapan kes, yang merupakan tertinggi sejak 25 rakyat di negeri itu dikesan pada hujung Julai. 

Lima dikesan di Kuching termasuk tiga dari kluster Bah Arnab, dua di Miri dan satu di Bintulu. 

Empat daripada kes berkenaan adalah penularan tempatan, dengan dua dikategori sebagai kes Import A – kes import dari luar negara – dan dua dikategori sebagai kes Import B iaitu kes import dari negeri di Malaysia. – 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen