5 kematian, 375 kes baharu Covid-19


Ragananthini Vethasalam

LIMA kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, kesemuanya di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 146 orang sejak pandemik itu melanda Malaysia.

Dr Noor Hisham dalam sidang media secara maya hari ini berkata, sebanyak 375 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Daripada jumlah itu, 371 kes adalah penularan dalam negara, manakala empat lagi kes import.

Bagi penularan dalam negara, 345 kes membabitkan rakyat tempatan, 29 selebihnya adalah warga asing.

Sehingga kini Malaysia telah merekodkan 14,368 kes Covid-19, tambah beliau.

Menurut Dr Noor Hisham lagi lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesan dua lagi kluster baharu di Sabah. Negeri itu menyumbang 271 daripada jumlah kes baharu hari ini.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 3,703 kes. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 18 pesakit dibenarkan keluar hospital selepas disahkan sembuh dari jangkitan, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh sehingga kini 10,519 orang.

Beliau juga berkata 60 pesakit dirawat di unit rawatan rapi berbanding 40 kes semalam. Seramai 20 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada lima kematian yang dicatatkan hari ini, tiga dilaporkan di Hospital Tawau, dan masing-masing satu kes di Sandakan dan Semporna, kata Dr Noor Hisham.

Empat mangsa yang meninggal dunia mempunyai latar belakang penyakit kronik, manakala maklumat seorang lagi mangsa tidak diperolehi.

Dua daripada mereka adalah warga emas berumur 75 dan 82 tahun, manakala tiga lagi berusia dalam lingkungan 50-an.

Selain 271 kes baharu yang dilaporkan di Sabah, Selangor mencatatkan 36 kes dan Kedah (16).

Selain dua kluster baharu di Sabah, KKM turut mengesan tiga lagi kluster masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sarawak dan Labuan. – 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen