KUMPULAN Indira Gandhi Action Team (Ingat) menawarkan RM50,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat di mana Prasana Diksa, anak perempuan kepada M. Indira Gandhi yang dilarikan oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah lebih sepuluh tahun lalu.
Pengerusi Ingat Arun Dorasamy memberitahu The Malaysian Insight mereka yang mempunyai maklumat sahih mengenai Prasana akan diberikan ganjaran.
“Kami sediakan ganjaran wang tunai RM50,000 dan akan diberi kepada mereka yang mempunyai apa sahaja maklumat sahih mengenai Prasana.
“Ganjaran akan diberi berdasarkan kepada maklumat yang diberi,” kata Arun.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Prasana boleh menghubungi talian 016-7114 252, tambahnya.
Kumpulan itu tahun lalu menawarkan wang tunai RM10,000 bagi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan Riduan, yang menukar agama anak-anaknya tanpa pesetujuan Indira.
Arun berkata satu sidang media akan diadakan esok mengenai rancangan Indira untuk berjalan kaki sejauh 350km dari utara Semenanjung ke Putrajaya, bagi menuntut keadilan.
Menurutnya, Indira akan berjalan kaki dalam tempoh 12 hari untuk menyampaikan surat tuntutan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Bulan lalu Indira merancang untuk mogok lapar di depan Bukit Aman selepas gagal mendapatkan maklum balas daripada pihak polis mengenai perkembangan terbaharu kedudukan anaknya.
Rancangan itu dibatalkan selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bersetuju mengadakan pertemuan dengannya. Hamid bagaimanapun tidak hadir pada pertemuan tersebut, sebaliknya diwakili pegawai kanan Bukit Aman.
Indira memfailkan saman RM100 juta terhadap Hamid kerana gagal mengesan anak perempuannya.
Riduan pada 2014 diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengembalikan Prasana kepada bekas isterinya.
Beliau gagal berbuat demikian, menyebabkan satu perintah dikeluarkan memaksa pihak polis menangkapnya.
Indira juga menyaman Hamid kerana gagal mengesan anak perempuannya.
Riduan melarikan Prasana selepas menukar agama tiga anaknya dengan Indira kepada Islam. Tindakannya itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai tidak sah, Januari tahun lalu. – 8 Oktober, 2020.
Komen