Ziarah saudara jalani kuarantin punca kluster Bah Puchong


Kementerian Kesihatan mengumumkan semalam terdapat lima kes positif dalam kluster Bah Puchong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

KUNJUNGAN saudara ke tempat individu yang sedang menjalani kuarantin menjadi punca kluster Bah Puchong Covid-19 di Selangor, kata Adun Kinrara, Nge Sze Han.

“Kluster ini dinamakan ‘Bah Puchong’ kerana individu yang tinggal di Puchong kembali dari Sabah,” katanya dalam catatan Facebook.

“Individu berkenaan berada dalam kuarantin rumah, tetapi saudaranya dari Perak datang menziarahi dan tinggal bersamanya dan mereka kemudian didapati positif,” tambahnya.

Beliau menambah, semua yang dijangkiti dimasukkan ke hospital dan kontak rapat disaring.

Ng juga meminta penduduk bertenang kerana penemuan kluster itu tidak bermaksud Puchong mengalami wabak Covid-19 yang serius.

Exco bagi kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pembangunan kampung baru Selangor itu juga mengingatkan penduduk agar mematuhi prosedur operasi standard seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.

Kementerian Kesihatan mengumumkan semalam terdapat lima kes positif dalam kluster Bah Puchong.

Tiga kes ditemui di Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Dua pesakit lagi dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

Pihak berkuasa kesihatan memeriksa 39 individu sehingga tengah hari semalam. Daripada jumlah ini, 34 masih menunggu keputusan ujian mereka.

Punca jangkitan masih disiasat.

Selangor mempunyai 20 kes baharu semalam, yang kebanyakannya berasal dari Klang.

Klang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat mulai esok bagi mengekang penyebaran virus. – 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen