20 ditahan setakat ini kes cuci duit Macau Scam, kata SPRM


SPRM mengesahkan seramai 20 suspek termasuk lapan dari pasukan polis ditahan dalam operasi khas kes pengubahan wang haram melibatkan sindiket penipuan Macau Scam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.

AGENSI antirasuah mengesahkan seramai 20 suspek termasuk lapan dari pasukan polis ditahan dalam operasi khas kes pengubahan wang haram melibatkan sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, agensi itu juga menyita 730 akaun bank yang mengandungi wang RM80 juta, wang tunai RM5 juta dan 23 kenderaan mewah.

“Daripada 20 suspek, seorang adalah lelaki warga China, 11 rakyat tempatan dan lapan pegawai penguatkuasa daripada satu agensi kerajaan.

“Semua rampasan ini dipercayai adalah hasil aktiviti haram dengan menipu orang ramai,” katanya dalam wawancara bersama MACCFM,” katanya.

Seramai lapan dari pasukan polis itu termasuk empat pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Selangor yang ditahan dalam satu operasi khas bermula Selasa.

Sumber berkata, wang tunai RM100,000 turut dirampas dari seorang pegawai kanan polis yang ditahan.

Operasi ke atas sindiket penipuan Macau Scam itu dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti dan orang kenamaan bergelar Datuk. 

Dalam perkembangan sama, Azam berkata, agensi itu memiliki senarai nama selebriti negara yang dipercayai terbabit dalam sindiket cuci duit itu. 

“Siapa makan cili, dia terasa pedasnya. Jadi, sesiapa tidak kiralah artis atau selebriti diminta tampil untuk memberi keterangan dan bantu siasatan.

“Ini kerana, pegawai siasatan saya mempunyai senarai nama mereka yang terbabit dalam sindiket ini. 

“Bagi orang lain yang juga yakin mempunyai maklumat mengenai sindiket ini juga boleh salurkan maklumat kepada SPRM, saya jamin mereka akan diberi perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat,” katanya.  – 8 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen